KESALAHAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU PADA PAPAN TANDA AWAM,
PAPAN IKLAN DAN PAPAN TANDA PREMIS PERNIAGAAN
Papan
tanda merupakan salah satu alat komunikasi untuk menerangkan kepada pengguna
sesuatu maklumat tentang kedudukan sesebuah bangunan, arah sebatang jalan dan
sebagainya (Forum bahasa, 2007:31). Ada beberapa jenis papan tanda. Ada papan
tanda yang memuatkan lambang (gambar) sahaja, ada yang memuatkan lambang
dan ayat, dan ada juga papan tanda yang memuatkan ayat atau kata atau frasa
sahaja (S. Nathesan, 1999:37)
Papan
tanda digunakan sebagai komunikasi secara visual. Masyarakat akan memahami
maksud papan tanda tersebut dengan melihat grafik, teks, warna dan bentuk papan
tanda tersebut. Papan tanda masih boleh dianggap sebagai salah satu medium
penyampaian maklumat yang penting dan berkesan di kalangan masyarakat.
Papan
tanda awam merujuk kepada paparan maklumat yang disediakan oleh pihak tertentu
terutamanya pihak kerajaan untuk memaklum, memberitahu, mengumum atau
menyatakan sesuatu perkara kepada orang ramai. Justeru. papan tanda awam ini
tidak semestinya dalam bentuk papan notis
semata-mata. Sebarang maklumat yang
dipamerkan untuk panduan umum dan bukan bertujuan mendapatkan keuntungan bagi
mana-mana pihak adalah dianggap sebagai papan tanda awam.
Kesalahan dan
kecelaruan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda awam, papan iklan dan
papan tanda premis perniagaan masih lagi ditemui di tempat-tempat awam. Situasi
ini menggambarkan sikap pihak-pihak pengiklan yang tidak prihatin terhadap
penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Sikap mereka yang mengabaikan
penggunaan bahasa Melayu yang betul, tepat dan berkesan menyebabkan martabat
bahasa Melayu seolah-olah diperlekehkan.
Dalam
hal ini, soal betul atau salah penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda
mahupun papan iklan bukan menjadi pertimbangan utama, sebaliknya mereka hanya
mementingkan bahasa yang digunakan pada papan tanda yang mereka
anggap dapat difahami oleh pengguna. Justeru, terdapat segelintir pengiklan
mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau menjadikan “bahasa
rojak” pada papan tanda premis mereka.
Sekadar menguji pengetahuan bahasa anda. Sila komen berdasarkan gambar dibawah.