Isnin, 22 September 2014

KESALAHAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU PADA PAPAN TANDA AWAM, PAPAN IKLAN DAN PAPAN TANDA PREMIS PERNIAGAAN



KESALAHAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU PADA PAPAN TANDA AWAM, PAPAN IKLAN DAN PAPAN TANDA PREMIS PERNIAGAAN


                        Papan tanda merupakan salah satu alat komunikasi untuk menerangkan kepada pengguna sesuatu maklumat tentang kedudukan sesebuah bangunan, arah sebatang jalan dan sebagainya (Forum bahasa, 2007:31). Ada beberapa jenis papan tanda. Ada papan tanda yang memuatkan lambang (gambar) sahaja, ada yang memuatkan lambang dan ayat, dan ada juga papan tanda yang memuatkan ayat atau kata atau frasa sahaja (S. Nathesan, 1999:37)
Papan tanda digunakan sebagai komunikasi secara visual. Masyarakat akan memahami maksud papan tanda tersebut dengan melihat grafik, teks, warna dan bentuk papan tanda tersebut. Papan tanda masih boleh dianggap sebagai salah satu medium penyampaian maklumat yang penting dan berkesan di kalangan masyarakat.
Papan tanda awam merujuk kepada paparan maklumat yang disediakan oleh pihak tertentu terutamanya pihak kerajaan untuk memaklum, memberitahu, mengumum atau menyatakan sesuatu perkara kepada orang ramai. Justeru. papan tanda awam ini tidak semestinya dalam bentuk papan notis semata-mata. Sebarang maklumat yang dipamerkan untuk panduan umum dan bukan bertujuan mendapatkan keuntungan bagi mana-mana pihak adalah dianggap sebagai papan tanda awam.
Kesalahan dan kecelaruan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda awam, papan iklan dan papan tanda premis perniagaan masih lagi ditemui di tempat-tempat awam. Situasi ini menggambarkan sikap pihak-pihak pengiklan yang tidak prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Sikap mereka yang mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul, tepat dan berkesan menyebabkan martabat bahasa Melayu seolah-olah diperlekehkan.
Dalam hal ini, soal betul atau salah penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda mahupun papan iklan bukan menjadi pertimbangan utama, sebaliknya mereka hanya mementingkan bahasa yang digunakan pada papan tanda yang mereka anggap dapat difahami oleh pengguna. Justeru, terdapat segelintir pengiklan mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau menjadikan “bahasa rojak” pada papan tanda premis mereka.

 Sekadar menguji pengetahuan bahasa anda. Sila komen berdasarkan gambar dibawah.