Isnin, 22 September 2014

KESALAHAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU PADA PAPAN TANDA AWAM, PAPAN IKLAN DAN PAPAN TANDA PREMIS PERNIAGAAN



KESALAHAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU PADA PAPAN TANDA AWAM, PAPAN IKLAN DAN PAPAN TANDA PREMIS PERNIAGAAN


                        Papan tanda merupakan salah satu alat komunikasi untuk menerangkan kepada pengguna sesuatu maklumat tentang kedudukan sesebuah bangunan, arah sebatang jalan dan sebagainya (Forum bahasa, 2007:31). Ada beberapa jenis papan tanda. Ada papan tanda yang memuatkan lambang (gambar) sahaja, ada yang memuatkan lambang dan ayat, dan ada juga papan tanda yang memuatkan ayat atau kata atau frasa sahaja (S. Nathesan, 1999:37)
Papan tanda digunakan sebagai komunikasi secara visual. Masyarakat akan memahami maksud papan tanda tersebut dengan melihat grafik, teks, warna dan bentuk papan tanda tersebut. Papan tanda masih boleh dianggap sebagai salah satu medium penyampaian maklumat yang penting dan berkesan di kalangan masyarakat.
Papan tanda awam merujuk kepada paparan maklumat yang disediakan oleh pihak tertentu terutamanya pihak kerajaan untuk memaklum, memberitahu, mengumum atau menyatakan sesuatu perkara kepada orang ramai. Justeru. papan tanda awam ini tidak semestinya dalam bentuk papan notis semata-mata. Sebarang maklumat yang dipamerkan untuk panduan umum dan bukan bertujuan mendapatkan keuntungan bagi mana-mana pihak adalah dianggap sebagai papan tanda awam.
Kesalahan dan kecelaruan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda awam, papan iklan dan papan tanda premis perniagaan masih lagi ditemui di tempat-tempat awam. Situasi ini menggambarkan sikap pihak-pihak pengiklan yang tidak prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Sikap mereka yang mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul, tepat dan berkesan menyebabkan martabat bahasa Melayu seolah-olah diperlekehkan.
Dalam hal ini, soal betul atau salah penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda mahupun papan iklan bukan menjadi pertimbangan utama, sebaliknya mereka hanya mementingkan bahasa yang digunakan pada papan tanda yang mereka anggap dapat difahami oleh pengguna. Justeru, terdapat segelintir pengiklan mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau menjadikan “bahasa rojak” pada papan tanda premis mereka.

 Sekadar menguji pengetahuan bahasa anda. Sila komen berdasarkan gambar dibawah.

            


12 ulasan:

  1. Berdasarkan gambar papan tanda di atas, terdapat kesalahan bahasa dalam ayat yang digunakan. Kesalahan ejaan bukan sahaja mencemarkan bahasa kita malahan memberi kekeliruan kepada sesetengah pihak. Bagi kanak-kanak, mereka akan mudah terikut dengan apa yang dilihat. Sekiranya bahasa itu tidak diperbetulkan ia akan tetap disimpan dalam memori kanak-kanak. Selain kanak-kanak, golongan dewasa juga tidak terkecuali menerima kesan akibat kesalahan bahasa ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada ianya adalah satu kesilapan ataupun istilah baru yang dicipta. Seharusnya sebelum pihak syarikat yang berkenaan perlulah memastikan agar kesalahan bahasa seperti ini tidak berlaku. Bersamalah kita menjaga bahasa kita agar ianya tidak dicemari.

    BalasPadam
  2. Papan tanda yang terdapat kesalahan penggunaan tatabahasa atau ayat patut dibendung dan dibenteras kerana kesalahan ini boleh melibatkan pengaruh kepada masyarakat terutamanya pelajar -pelajar sekolah.Pihak-pihak terbabit patut menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menapis atau menyemak papan tanda atau iklan sebelum ia di paparkan.kerjasama daripada semua pihak juga perlu untuk membantu membasmi kesalahan-kesalahan yang dilakukan ini.Bersama membantu menyedarkan masyarakat tentang pentingnya penggunaan paparan papan tanda yang betul.

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. Berdasarkan pemerhatian saya pembuat papan tanda perlulah sensitif dengan ejaan dan bahasa yang digunakan untuk mengelakkan kekeliruan maksud. Justeru pembinaan papan tanda perlu di selaraskan mengikut spesifikasi pembuatannya. Selain itu, saiz dan ejaan perlu ditentukan supaya semua pengguna boleh mengerti maksudnya. Akhirnya jangan pandang remeh dengan penggunaan bahasa dan ejaan. Walaupun kesalahan yang kecil dilakukan tetapi impaknya terlalu besar.

    BalasPadam
  5. Isu membabitkan bahasa Melayu sering diperbincangan pada masa kini . Boleh dikatakan setiap hari ada saja berita mengenai pengabaian penggunaan bahasa Melayu dipaparkan menerusi media. Pencemaran bahasa Melayu masih berleluasa seperti yang dapat kita lihat menerusi papan tanda dan papan iklan yang dipasang di seluruh Negara. Penulisan pada papan iklan juga lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Bukan itu sahaja malah banyak medium penyiaran juga melakukan banyak kesilapan dalam berbahasa.
    Kesalahan yang secara terang-terangan dilakukan oleh pengusaha papan iklan atau papan tanda tidak diambil tindakan. Mungkin bagi pihak pengusaha, mereka telah menggunakan bahasa Melayu yang betul walaupun sebenarnya ada kesilapan dari segi ejaan ataupun tatabahasanya. Kita tidak menyalahkan pihak pengusaha papan tanda 100% kerana mereka tidak ada garis panduan yang sebenarnya untuk menghasilkan penulisan pada papan tanda yang betul.
    Seperkara lagi, kini masyarakat di negara kita terutama pengusaha premis lebih ghairah untuk menggunakan bahasa Inggeris bagi mengiklankan premis mereka. Apa yang lebih mengharukan, ada pula yang mencampur adukan tulisan Inggeris dan bahasa Melayu. Pihak berwajib harus mengambil tindakan sewajarnya sebelum bahasa Melayu menjadi semakin parah.

    BalasPadam
  6. Kesalahan dan kecelaruan penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda dan papan iklan masih lagi ditemui di tempat-tempat awam. Situasi ini menggambarkan sikap peniaga atau pengiklan yang tidak prihatin terhadap penggunaan Bahasa Melayu yang betul dan tepat. Sikap mereka yang mengabaikan penggunaan Bahasa Melayu yang betul, tepat, dan berkesan menyebabkan martabat Bahasa Melayu seolah-olah diperlekehkan.
    Justeru, diharapkan masyarakat Malaysia terutamanya pihak yang berwajib lebih peka terhadap permasalahan ini kerana jika terus dibiarkan, tidak mustahil andainya suatu hari nanti Bahasa Melayu akan lupus dan tidak lagi digunakan.

    BalasPadam
  7. Kesalahan bahasa dari sudut ejaan dan kosakata di tempat awam boleh menyebabkan salah faham dan boleh menjadi bahan jenaka. Ini mengelirukan murid-murid yang baru belajar mengeja kerana ia diletakkan di tempat awam, jadi mereka berpendapat tiada kesalahan yang ada. Kesalahan pada papan tanda dan papan iklan ini seharusnya dipantau oleh pihak bertanggungjawab kerana bahasa menunjukkan bangsa.

    BalasPadam
  8. Masalah kesalahan papan tanda kurang diambil tindakan. Masyarakat kita seolah-olah kurang mengambil tahu tentang masalah ini. Kesannya mungkin kepada murid2 terutamanya murid sekolah rendah yang masih lagi belajar mengeja akan keliru apabila terbaca ejaan yang salah.

    BalasPadam
  9. Masalah papan tanda memang tidak diambil perhatian oleh pihak berkuasa. Kesannya bukan sahaja kepada umum malah kepada pihak yang menaikkan papan tanda tersebut. Ia akan memberikan pandangan negatif masyarakat kepada pemilik papan tanda itu.

    BalasPadam
  10. Masalah kesalahan pada papan tanda memang kurang diberi perhatian. Ada pihak yang menganggap perkara ini remeh sehingga kesalahan itu amat ketara. Orang ramai juga kurang mengambil berat akan hal ini menyebabkan perkara ini semakin berlanjutan.

    BalasPadam
  11. Kesalahan penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda tidak wajar berlaku. Sebagai warganegara Malaysia kita haruslah peka tentang permasalahan ini dan bertanggungjawab mempertabatkan bahasa kita kerana "Bahasa Jiwa Bangsa".

    BalasPadam
  12. Assalamualaikum cikgu. Izinkan saya jadikan penulisan cikgu ini sebagai rujukan bahan pengajian saya. Terima kasih

    BalasPadam